Monday, 21 May 2018

Azmin Ali bakal letak jawatan Menteri Besar Selangor

Teka teki Azmin Ali selaku Menteri Besar Selangor bakal terjawab


Dato Seri Azmin Ali yang telah di namakan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi bakal meletakkan jawatan Menteri Besar Selangor.




Memetik dari website azminali.com

Dengan rasa penuh tawadu’ saya menjunjung kasih di atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk saya memainkan peranan yang lebih besar di peringkat Kerajaan Persekutuan. Perkenan Tuanku ini adalah atas penjelasan dan pengesahan daripada YAB Perdana Menteri tentang skop kerja dan bidang kuasa Kementerian yang baharu.

Dengan setulus hati, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih di atas titah nasihat dan pedoman yang diberikan oleh Tuanku sepanjang saya mengemudi pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Titah nasihat dan pedoman Tuanku telah memperkukuh keyakinan saya serta mengupayakan saya untuk mengangkat Selangor ke tahap kejayaan yang lebih tinggi.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas kepercayaan beliau melantik saya menyertai kabinet sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Saya menerima amanah dan tanggungjawab ini dengan kesedaran untuk melaksanakan reformasi ekonomi demi menyelamatkan negara dari krisis akibat kecelaruan dasar-dasar pentadbiran sebelum ini.

Dalam pertemuan saya dengan YAB Perdana Menteri pada 19 Mei 2018, YAB Tun Dr. Mahathir telah memperincikan skop, fungsi dan tanggungjawab Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Saya turut menzahirkan beberapa pandangan agar Kerajaan Pakatan Harapan dapat membentuk sebuah Kerajaan yang tampan, cekap dan berkesan.

Sebagai memenuhi aspirasi rakyat, saya komited kepada usaha membangun sebuah ekonomi yang kuat dan rancak, mencipta nilai, menjana peluang pekerjaan, serta meningkatkan FDI. Saya ingin memberi jaminan kepada pelabur domestik dan pelabur asing bahawa Kerajaan baharu ini adalah business friendly dan mesra pelabur dengan berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Menjadi iltizam saya untuk memacu daya saing ekonomi negara demi meletakkan kembali Malaysia di kedudukan utama dalam kepimpinan ekonomi rantau ini. Saya juga bertekad untuk memastikan keadilan sosial terlaksana di mana kekayaan negara akan diagihkan secara adil dan saksama.

Saya terharu dengan dukungan dan sokongan gemuruh yang diberikan oleh rakyat Selangor terutamanya anggota perkhidmatan awam dan anak muda. Sesungguhnya, Selangor amat dekat di hati sanubari saya. Saya amat terkesan dengan permintaan rakyat yang dizahirkan secara terbuka menerusi media sosial agar saya terus kekal memimpin Selangor. Percayalah, saya akan terus bersama rakyat Selangor meneruskan kejayaan, kesejahteraan dan kemakmuran Negeri Selangor.

Amat berat untuk saya meninggalkan rakyat Selangor. Namun, saya insaf bahawa saya juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Ini adalah panggilan tanah air. Justeru, saya mempunyai tanggungjawab moral untuk memberikan khidmat dan bakti kepada bangsa dan negara.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Dato’ Menteri Besar Selangor


Kita ucapkan selamat menempuh cabaran yang baharu Dato Seri dan semoga pengganti Dato Seri samada lebih baik ataupun setaraf dengan Dato Seri.

1 comment: